POLIS mengesahkan mayat yang ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini adalah lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi daripada Pusat Kawalan Operasi Lapangan (AOCC).
Menurut beliau, pemeriksaan di ruang simpanan tayar sebelah kanan pesawat itu mendapati seorang lelaki ditemukan dalam keadaan meniarap dan sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat berkenaan, selain keadaan fizikal mayat yang sudah mereput.
“Berdasarkan saiz fizikal, mangsa dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ravi, lelaki berkenaan memakai ‘hoodie’ berwarna putih dengan gambar di bahagian belakang serta tulisan di bahagian hadapan.
Katanya, lelaki itu turut memakai seluar jean biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.
“Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa,” katanya.
Mayat itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut prosedur kematian mengejut (SDR).
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-8776 8222.
Media hari ini melaporkan, mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di KLIA2 pagi ini.
Mayat itu ditemukan kira-kira jam 6.55 pagi dalam ruang simpanan tayar pesawat dari Tokyo, Jepun yang mendarat kira-kira jam 6.30 pagi.
Difahamkan, mayat yang memakai seluar jean dan berbaju putih itu dijumpai kakitangan kejuruteraan yang ditugaskan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan.
Berdasarkan maklumat diterima, kakitangan berkenaan terhidu bau busuk yang mencurigakan dari ruang simpanan tayar lalu membuka ruang itu dan menemui mayat berkenaan sebelum memaklumkannya kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2.





