Pesara kerugian RM1.4 juta selepas didakwa terlibat pengubahan wang haram

SEORANG warga emas kerugian lebih RM1.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon ‘phone scam‘ yang mendakwa dia terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang merupakan pesara swasta berusia 66 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali memaklumkan dia terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram pada 19 Mei lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis dibuat semalam, mangsa mendakwa dia kemudian diarah membuka satu akaun bank dan memindahkan wang simpanan ke akaun itu untuk tujuan semakan pihak berkuasa.

“Selepas membuka akaun itu, seorang lelaki bertemu dengan mangsa di kawasan perumahan sebelum mangsa menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor pin kepada lelaki terbabit.

“Semua wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji serta hasil gadaian emas berjumlah RM1,417,210 dimasukkan kepada akaun bank sehingga 1 September lalu.

“Mangsa menyedari wang di dalam akaun itu dipindahkan kepada enam akaun yang berbeza dan juga dikeluarkan di mesin ATM tanpa pengetahuan mangsa, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata, menyedari dirinya sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Susulan kes itu, beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan nasihat awal daripada polis sebelum membuat sebarang tindakan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here