SEORANG pesara tentera bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kedi golf dengan niat mencabul kehormatannya, bulan lalu.
Tertuduh, Yahya Hashim, 68, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 25 Ogos lalu di sebuah padang golf di Jalan Gapam, Bukit Katil di Ayer Keroh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas sebagai kedi golf ditugaskan memberikan perkhidmatan kepada tertuduh bersama seorang lagi individu yang tidak dikenali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin yang mencadangkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Peguam Melvin Tay mewakili tertuduh yang mempunyai masalah kesihatan prostat memohon kadar itu dikurangkan dan memberi jaminan anak guamnya tidak akan melarikan diri memandangkan menetap di Melaka.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





