SEORANG pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang penumpangnya, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Ali Husin, 40, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 27 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.
Mohd Ali didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta Proton Saga di Jalan Bukit Rambai berdekatan Taman Bukit Rambai, Melaka pada 27 Mei lalu, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri kemudian memohon tarikh sebutan baharu bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa.
Peguam SS Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan tiada pekerjaan tetap ketika ini selepas tamat kontrak di sebuah syarikat perbadanan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dipohon pendakwaan dan menetapkan kes sebutan semula pada 10 Ogos depan.
Mengikut siasatan polis, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah universiti di Kuala Lumpur membuat pesanan e-hailing sejurus tiba di Melaka Sentral untuk pulang ke rumahnya di Taman Rambai Jaya pada hari kejadian.
Tertuduh meminta pengadu duduk di kerusi penumpang hadapan dan mangsa mengikuti tanpa mengesyaki apa-apa sebelum dicabul ketika hampir tiba di taman.






