SUSPEK utama kes pembunuhan penuntut wanita institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) akan dituduh di mahkamah di Petaling Jaya esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek adalah lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an yang juga penuntut di IPTS bersama mangsa.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut wanita IPTS ditemukan dengan kesan kecederaan pada badan di sebuah kondominium di Petaling Jaya disyaki dibunuh kira-kira jam 11.03 pagi, 23 Jun lalu.
Polis melaporkan isu peribadi membabitkan perasaan dan perbelanjaan harian dipercayai antara motif awal kejadian terbabit.
Siasatan peringkat awal turut mendapati mangsa, wanita warga asing dan suspek yang juga penuntut universiti sama saling mengenali serta menjalinkan hubungan.






