`Saya tidak ‘terkulai’ dengan pujian, akan terus berusaha tingkat prestasi’ – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan ‘terkulai’ dengan pujian, sebaliknya akan terus berusaha meningkatkan prestasi dalam mengemudi kerajaan.

Ketika ditanya hasil kajian Merdeka Center yang meletakkannya sebagai pemimpin politik paling disukai, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur, namun pengiktirafan sedemikian tidak seharusnya menjadikan beliau leka.

“Alhamdulillah, saya dengar cerita-cerita begitu, Alhamdulillah tapi saya sentiasa sebut dalam semangat islah ma istata’tu, iaitu kita berusaha sedaya upaya untuk terus meningkatkan prestasi.

“Dan rumusan hadis, itqan fil ‘amal, kita sentiasa cuba lakukan yang sebaiknya, kerja lebih kuat dan jangan kadang-kadang terkulai dengan pujian-pujian ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil di Dengkil hari ini.

Dalam tinjauan terbaharu oleh Merdeka Center, Anwar terus mendapat penarafan positif apabila mencatat kadar sokongan tertinggi, iaitu 52 peratus berbanding pemimpin politik lain.

Tinjauan dilakukan antara 12 Mac hingga 9 April tahun ini juga mendapati 42 peratus daripada pengundi Malaysia masih percaya bahawa negara ini berada pada landasan yang betul meskipun berdepan dengan ketidaktentuan antarabangsa yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi.

Menurut tinjauan berkenaan, sokongan terhadap reformasi institusi kekal utuh dengan sokongan besar diberikan kepada cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta memperkenalkan pilihan raya secara langsung bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img