SEBANYAK 469 kilogram (kg) sosej pelbagai jenama dipercayai dibawa masuk dari Thailand disita dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Wakaf Aik, Tawang, Kota Bharu, semalam.
Rampasan itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Bachok menerusi Op Salju Mega.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Husaain berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan di premis itu menemukan seorang lelaki berusia 25 tahun yang mengaku sebagai pemilik kedai, manakala pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kontena sejuk beku di sebelah premis menemukan bungkusan sosej dan makanan sejuk beku bertulisan Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati makanan sejuk beku itu tidak mempunyai label mengikut kehendak bahasa yang ditetapkan di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Bachok mengeluarkan notis kesalahan serta tawaran kompaun dan menyita semua makanan sejuk beku berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan mendapati lelaki terbabit menjalankan perniagaan makanan sejuk beku sejak kira-kira lapan tahun lalu.
Katanya, suspek mengaku mendapatkan bekalan makanan yang dipercayai berasal dari Thailand daripada seorang peniaga wanita di RTC Tunjung, Kota Bharu.
“Pembelian dibuat tiga kali seminggu dengan kuantiti antara 200 hingga 300 peket, bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, kegiatan penyimpanan dan penjualan sosej sejuk beku dari Thailand dalam kuantiti besar menunjukkan wujudnya aktiviti pembekalan serta pengedaran secara berterusan.
Beliau berkata, penjualan makanan sejuk beku tanpa label dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris boleh mengelirukan pengguna kerana mereka sukar memahami kandungan, ramuan serta maklumat keselamatan produk.
Katanya, keadaan itu turut berisiko menjejaskan kesihatan pengguna, khususnya jika makanan mengandungi bahan yang boleh menyebabkan alahan.
Suspek bersama barang kes diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Bachok untuk tindakan lanjut, manakala dokumen berkaitan turut dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.





