Bapa tinggalkan anak berhampiran Plaza Tol Nilai mengaku tidak bersalah

JURUTERA warga China yang tular selepas meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, sebelum ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu kepada risiko kecederaan fizikal.

Tertuduh, Jiao Bo, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendedahkan kanak-kanak berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada jam 1.21 tengah hari di susur keluar Plaza Tol Nilai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khairiah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu serius, lebih-lebih lagi tertuduh adalah bapa kepada mangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa kini berada di bawah jagaan ibunya, lapor BH.

Bagaimanapun, peguam Shahmi Iffah Mohd Arshad memohon supaya tertuduh diberikan jaminan minimum atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai jurutera merupakan penanggung tunggal keluarga.

Katanya, tertuduh sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun dengan pas pekerja tajaan syarikat, selain tinggal bersama isteri dan dua anak berusia 12 serta lapan tahun.

Menurutnya, tertuduh turut menguruskan segala urusan keluarga termasuk perbankan dan persekolahan anak-anak.

Peguam itu berkata, penahanan tertuduh memberi tekanan kepada isteri serta emosi anak-anak yang melihat bapa mereka ditahan polis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melarangnya mendekati atau mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember depan bagi mendapatkan laporan forensik.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga China ditahan selepas didakwa meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sehingga video kejadian itu tular.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya dilaporkan berkata, pertengkaran antara dua beradik di dalam kereta dipercayai menjadi punca bapa mereka berang sebelum meninggalkan salah seorang daripada mereka sebagai pengajaran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here