217 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu di Pandan Indah

SERAMAI 217 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa di Taman Pandan Komersial dan Taman Pandan Mewah, Pandan Indah, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, operasi berkenaan diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu turut mengesan sebahagian warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah.

Pemeriksaan turut mengesan kesalahan berkaitan premis perniagaan dan bekalan elektrik.

“Individu yang melakukan kesalahan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, pihaknya turut mengesan satu hantaran video tular berkaitan operasi berkenaan di aplikasi Threads pada 17 Ogos lalu.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di rumah atau premis di bawah kawalan mereka.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63, antaranya Seksyen 55B kerana menggaji PATI, Seksyen 55E kerana membenarkan PATI tinggal di premis dan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi PATI,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan menggaji PATI di bawah Seksyen 55B, pesalah boleh dikenakan denda RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap PATI atau penjara atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan membenarkan PATI tinggal di premis di bawah Seksyen 55E, hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 bagi setiap PATI atau penjara atau kedua-duanya boleh dikenakan.

“Bagi Seksyen 56(1)(d), hukuman denda RM10,000 hingga RM50,000 dan hukuman lebih berat bagi kes melibatkan ramai PATI,” katanya.

Khairul Anuar berkata, operasi dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here