KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kubang Pasu, Kedah telah menerima kes tangkapan 2 buah pikap bernombor pendaftaran asing daripada PGA Kompeni C Batalion 1 semalam.
Menurut kenyataan kementerian itu melalui Facebook, satu tangkapan dan sitaan terhadap 2 buah kenderaan tersebut telah dilakukan pada jam 6.30pagi di laluan keluar ICQS Bukit Kayu Hitam.
‘’Hasil pemeriksaan ke atas 2 buah tpikap jenis Toyota Hilux no pendaftaran Thailand mendapati ada sejumlah minyak petrol dianggarkan sebanyak 500 liter bagi setiap buah pickup.
‘’Terdapat pengubahsuaian dan pemasangan tangki tambahan pada kenderaan dan 2 orang lelaki warganegara Thailand ditahan dalam pemeriksaan ini. Nilai rampasan bagi kedua-dua kes berjumlah RM104,200,’’ kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dua warganegara Thailand yang ditahan diserah dan dibawa ke pejabat KPDN Kubang Pasu untuk proses rakaman percakapan dan dokumentasi bagi 2 kertas siasatan.
Kedua-dua OKT bagi kes ini telah dijamin polis di IPD Kubang Pasu dan dilepaskan dengan jaminan.
Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh:
- Dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya; dan
- Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakansatu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
‘’Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi. KPDN Kedah menyeru sama ada pengguna, peniaga mahupun pihak industri atau mana-mana organisasi diseru agar bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR demi manfaat kita bersama’’ katanya kenyataan berkenaan.


