Ketua Geng Upik didakwa ubah wang haram RM821,950

KETUA kumpulan jenayah terancang Geng Upik, Datuk Maslan Sani, yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM821,950.

Tertuduh berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.

Mengikut pertuduhan, Maslan didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM821,950 melalui deposit ke dalam dua akaun bank miliknya.

Jumlah itu membabitkan sembilan transaksi masing-masing bernilai RM5,500, RM20,000, RM175,090, RM33,990, RM4,170, RM29,900, RM284,400, RM139,700 dan RM129,200.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari hingga Disember 2016 di beberapa cawangan CIMB Bank di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau instrumen kesalahan, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Mohd Azhier Farhan Arisin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan.

Tiada permohonan ikat jamin dikemukakan memandangkan Maslan kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Maslan selepas dia mengaku bersalah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik antara 2015 hingga 2023.

Maslan sebelum ini didakwa bertindak sebagai ketua kumpulan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img