PH perlu terus diberi mandat laksana agenda MADANI di Negeri Sembilan – Nie Ching

PAKATAN Harapan (PH) Negeri Sembilan perlu diberi mandat untuk terus menerajui kerajaan negeri bagi meneruskan pelaksanaan reformasi serta dasar yang diperkenalkan Kerajaan MADANI

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, Kerajaan Persekutuan mencatat pelbagai pencapaian sepanjang tiga tahun lalu, termasuk prestasi ekonomi yang lebih kukuh, reformasi skim pencen perkhidmatan awam serta langkah memperluas peluang pendidikan.

Menurut beliau, Malaysia turut merekodkan pencapaian tertinggi dalam perdagangan, pelancongan, pasaran modal dan rizab antarabangsa meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, sekali gus membuktikan ekonomi negara kekal berada pada landasan yang positif.

“Walaupun masih terdapat cabaran, mesej yang ingin saya sampaikan adalah ekonomi Malaysia terus berkembang dan bergerak ke hadapan. Sebab itu kami berharap rakyat akan terus menyokong PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam PH di Seremban malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Pada program itu, Nie Ching menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin, manakala terjemahan bahasa Inggeris turut disediakan kepada media.

Timbalan Menteri Komunikasi itu turut mengetengahkan beberapa inisiatif bagi memperluas peluang pendidikan termasuk jaminan penempatan ke program matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain keutamaan kemasukan ke kursus pilihan di universiti awam kepada pelajar cemerlang.

Mengakui tidak semua dasar diperkenalkan sepanjang tiga tahun lalu sempurna, beliau berkata, kerajaan membuktikan kesediaannya mendengar pandangan rakyat serta menambah baik dasar yang dilaksanakan apabila perlu.

“Kami berharap usaha yang dilakukan hari ini akan menjadi legasi bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.

Menyentuh perkembangan politik, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, DAP tidak akan berputus asa meskipun mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, sebaliknya menganggap keputusan itu sebagai peluang untuk bermuhasabah tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti.

Beliau berkata, DAP akan terus memperkukuh parti dan meneruskan agenda reformasi dengan berpegang teguh pada nilai terasnya, di samping membina ekonomi yang lebih kukuh serta masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img