Pemuda UMNO Kapar gesa formula kerjasama BN-PN diperluas ke Selangor

PERGERAKAN Pemuda UMNO Bahagian Kapar hari ini menggesa formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dapat diperluaskan ke Selangor bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketuanya, Affifi Aris berkata, kerjasama itu selari dengan aspirasi akar umbi yang mahu melihat penyatuan lebih erat dalam kalangan parti-parti Melayu bagi berdepan cabaran politik semasa.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama berkenaan membuahkan hasil di Negeri Sembilan, pendekatan sama wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di Selangor.

“Hari ini Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sudah mendengar apa yang kita mahukan. Sudah tiba masanya kita menyantuni orang Melayu di peringkat akar umbi.

“Sekiranya formula di Negeri Sembilan ini berjaya, saya yakin pendekatan sama boleh dibawa ke Selangor,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar di Dewan Serbaguna Bandar Sultan Suleiman di Klang hari ini.

Mesyuarat dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid.

Affifi berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu berpotensi meningkatkan peluang BN untuk merampas semula kerusi Parlimen Kapar serta beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh kepimpinan dan ahli parti supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya tanpa menunggu pembubaran Parlimen.

“Pilihan raya boleh datang pada bila-bila masa. Apabila tiba masanya, kita tidak lagi mempunyai ruang untuk merajuk, mengeluh atau menyalahkan satu sama lain. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan.

“Siapa sahaja yang dipilih sebagai calon, kita mesti bantu sehabis baik kerana inilah peluang terbaik untuk kita menawan kembali kerusi-kerusi yang ada dalam Parlimen Kapar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap ahli supaya melaksanakan tanggungjawab terhadap parti melalui penglibatan aktif dalam mesyuarat, program dan gerak kerja di peringkat akar umbi.

Katanya, peningkatan jumlah cawangan Pemuda UMNO Kapar yang berjaya mengadakan persidangan daripada 55 kepada 65 cawangan membuktikan komitmen ahli di peringkat akar umbi semakin kukuh.

Affifi turut menyeru semua sayap dan kepimpinan UMNO di Kapar mengetepikan perbezaan pendapat serta menghentikan perbalahan dalaman demi memastikan parti berada dalam keadaan terbaik menjelang pilihan raya.

Menurutnya, usaha memperkukuh organisasi perlu diteruskan hingga ke peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), selain memperluaskan pendekatan mendekati masyarakat khususnya golongan muda menerusi pelbagai program dan platform media sosial.

Pada PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi DUN, manakala baki 11 kerusi ditandingi PN sebagai sebahagian daripada kerjasama pilihan raya antara kedua-dua gabungan itu.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, prestasi kerjasama BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan akan menjadi antara penentu hala tuju kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan menjelang pilihan raya akan datang.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img