Pindaan Akta Mara akan terus lindungi hak, kepentingan orang Melayu, bumiputera

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan pindaan Akta Mara 1996 akan terus memelihara hak orang Melayu dan bumiputera, meskipun berlaku perubahan kepimpinan serta tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, langkah itu termasuk cadangan untuk meletakkan akta berkenaan secara jelas di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak istimewa, kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.

“Dalam akta ini, kita akan pertimbangkan untuk meletakkannya di bawah Perkara 153. Kita akan bawa ke peringkat menteri untuk dibawa ke Jemaah Menteri sebelum diluluskan secara dasar dan dipersetujui sebelum ke Parlimen.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, pengerusi boleh datang dan pergi, kerajaan juga boleh berubah, tetapi institusi mesti kekal dan hak Melayu bumiputera tidak boleh digadaikan,” katanya ketika sesi Konsultasi Awam Rang Undang-Undang (RUU) Mara 2026 di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Pindaan Akta Mara 1996 dijangka dibentangkan di Parlimen seawal Jun ini bagi memastikan agensi itu terus relevan serta ditadbir urus dengan lebih berkesan.

Asyraf Wajdi sebelum ini dilaporkan berkata, draf pindaan akta berkenaan  sudah siap dan kini dalam fasa sesi libat urus bersama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Bahagian Hal Ehwal Undang-IUndang bagi mendapatkan pandangan menyeluruh.

Sementara itu, menjawab soalan dikemukakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Asyraf Wajdi berkata, pindaan Akta Mara itu juga akan menetapkan Ahli Majlis tidak boleh menganggotai lebih daripada dua jawatankuasa di institusi yang berusia 60 tahun itu pada masa akan datang.

Menurutnya, langkah itu diambil sebagai langkah pembaharuan bagi menangani konflik kepentingan.

“Dalam peruntukan baharu ini kita spesifikkan maksimumkan dua sahaja jawatankuasa yang (Ahli Majlis) lembaga boleh berada.

“Sebagai contoh, Tan Sri Muhammad Ibrahim pengerusikan jawatankuasa pelaburan, dia boleh berada mungkin satu lagi jawatankuasa lain tapi dia tidak boleh berada dalam jawatankuasa yang hampir sama.

“Perkara itu (hadkan keanggotaan dalam jawatankuasa) diberikan perincian dalam akta tersebut,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img