AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak wajar diberi sebarang pengampunan, sebaliknya perlu dibawa pulang ke negara ini untuk dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau senada dengan pendirian Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menggesa supaya Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan pengampunan dikemukakan Jho Low.
“Di pihak kerajaan, perkara itu belum dibincangkan kerana laporan mengenainya timbul ketika mesyuarat Jemaah Menteri sedang berlangsung.
“Namun saya senada dengan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Jho Low tidak patut dimaafkan dan tidak wajar diberi sebarang pertimbangan pengampunan kerana musibah yang dibawanya kepada negara ini terlalu besar.
“Tiada pengampunan atau keringanan wajar diberikan kepada individu seperti Jho Low. Dia perlu pulang dan berdepan proses mahkamah untuk diadili. Itu yang sepatutnya berlaku,” tegas beliau.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di Dewan Merbau, IWK Ecopark, Kuala Lumpur hari ini.
Media sebelum ini media melaporkan, Jho Low sedang mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden AS, Donald Trump.
Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ), permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, dan jika diluluskan ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.


