TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini menghadiri sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD-NADI yang merupakan kolaborasi antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Suruhanjaya Komunikasi dan Mulmedia (MCM) dalam kenyataan berkata, bengkel itu diadakan melalui NADI bagi memperincikan penyelarasan serta memperkukuh hala tuju sinergi antara kedua-dua pusat komuniti tersebut, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada pelbagai program pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran, keusahawanan dan inisiatif pembangunan komuniti yang lain, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.
‘’Diadakan selama dua hari, bengkel ini menghimpunkan wakil daripada Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MCMC serta pihak berkaitan bagi meneliti pendekatan untuk memperkukuh fungsi serta mempertingkat penyelarasan antara PKD dan NADI,’’ kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, usaha itu selaras dengan pendekatan “whole of government” dalam mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan sumber sedia ada serta meningkatkan capaian perkhidmatan dan program pembangunan komuniti.
Kata MCMC, pelbagai isu, cabaran dan cadangan akan diteliti sepanjang bengkel berlangsung bagi membentuk model kolaborasi PKD-NADI yang lebih berkesan, termasuk aspek perkongsian kemudahan, penyelarasan program komuniti dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan di peringkatakar umbi.
‘’Hasil perbincangan akan dijadikan input kepada kedua-dua kementerian dalam memperincikan kerangka pelaksanaan serta langkah susulan yang dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,’’ kata MCMC.
Pada masa ini menurut kenyataan tersebut, terdapat 1,099 NADI di bawah KK dan 191 PKD di bawah KKDW di seluruh negara yang berperanan penting dalam pembangunan dan pemerkasaan komuniti, khususnya masyarakat luar bandar.
‘’Untuk rekod, NADI kini mempunyai lebih dua juta pengguna dan melaksanakan Program Perkhidmatan Pintar NADI dalam lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.
‘’Manakala, PKD pula telah melaksanakan lebih 29,000 program yang memberi manfaat kepada lebih 746,000 penduduk luar bandar dalam tempoh 5 tahun. Model NADI turut mendapat pengiktirafan menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Capacity Building serta sebagai Digital Transformation Center (DTC) ke-16 dunia oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Mac 2026,’’ kata MCMC.
Menurut MCMC, pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan NADI dalam pembangunan kapasiti dan transformasi digital komuniti, sekali gus menyediakan asas kukuh dalam kerangka model kerjasama PKD–NADI.





