Platform media sosial wajib hormati undang-undang Malaysia – Fahmi

PLATFORM media sosial yang beroperasi di Malaysia wajib menghormati serta mematuhi setiap undang-undang di negara ini khususnya membabitkan aspek keselamatan dan perlindungan golongan kanak-kanak di alam siber.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu selaras dengan langkah proaktif kerajaan menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial bermula hari ini, menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC).

Menurut beliau, penguatkuasaan kedua-dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) itu merupakan langkah pertama yang amat penting bagi melindungi golongan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada sebarang kemudaratan dalam talian.

“Ini adalah langkah pertama, ada langkah-langkah susulan yang perlu kita ambil termasuk terhadap platform (media sosial) yang ingkar. Ada platform yang merasakan mereka lebih besar daripada negara kita.

“Kalau mahu berniaga dan melaksanakan aktiviti dalam negara kita, platform besar wajib menghormati undang-undang negara kita,” katanya selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, lapor Bernama.

Mulai hari ini, kerajaan menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial untuk memastikan individu di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.

Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img