PM akui pemimpin pendidikan UEC tidak seperti 40 tahun lalu, kini tunjuk keselarasan

DATUK Seri Anwar Ibrahim mendedahkan suasana rundingan melibatkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini jauh berbeza berbanding pengalamannya ketika menerajui Kementerian Pendidikan, 40 tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, ketika itu sekolah-sekolah Cina dilihat terpisah sepenuhnya daripada landasan pendidikan kebangsaan, malah pemimpin persatuan pendidikan enggan bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau memberitahu, keadaan itu pernah menyebabkan Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Arshad berasa tersinggung dan bertindak meninggalkan majlis rundingan.

Anwar berkata, keadaan hari ini sudah berubah dengan ketara apabila sekolah persendirian Cina menunjukkan keselarasan yang lebih baik dengan kerangka pendidikan kebangsaan.

“Itu 40 tahun yang lalu. Tetapi pertemuan sekarang, semua wakil persatuan sudah bercakap dalam bahasa Melayu. Malah, lebih 80 peratus pelajar sekolah-sekolah Cina ini mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar menegaskan bahawa keputusan kerajaan berhubung pengiktirafan UEC dibuat dengan pendekatan seimbang, termasuk menetapkan syarat wajib lulus atau kepujian dalam bahasa Melayu dan Sejarah.

Katanya, syarat tersebut adalah terpakai kepada semua aliran sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz dan sekolah aliran Arab.

“Dalam hidup ini mesti ada semangat tolak ansur. Yang kita tidak boleh tolak ansur adalah unsur bahasa. Mahu menjadi rakyat Malaysia, mesti faham bahasa kebangsaan, sejarah negara, Perlembagaan dan perjuangan kemerdekaan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengulangi peringatan agar isu UEC tidak terus dipolitikkan, sebaliknya mengutamakan semangat tolak ansur dan kasih sayang dalam membina sistem pendidikan yang inklusif.

“Jadi saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru yang fokus kepada pendidikan,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img