PDRM siasat dakwaan Jho Low pulang ke Malaysia hadiri mesyuarat

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikatakan telah pulang ke Malaysia baru-baru ini bagi menghadiri beberapa mesyuarat sulit.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan berkenaan adalah benar atau sebaliknya.

“Kita belum mengesahkan sama ada dakwaan itu benar ataupun tidak.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman-PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Khalid mengulas laporan portal Sarawak Report yang mendakwa dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu menghadiri mesyuarat rahsia di negara ini pada hujung tahun lalu.

Laporan tersebut turut menimbulkan persoalan bagaimana Jho Low, yang diburu PDRM sejak sekian lama, didakwa berada di Malaysia tanpa dikesan pihak berkuasa.

Sebelum ini, Jho Low juga dilaporkan cuba memohon pengampunan daripada kerajaan Amerika Syarikat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img