Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan laporan kemajuan dalam rundingan untuk gencatan senjata di Gaza.
Katanya, perkembangan ini memberi secerah harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.
‘’ Setiap usaha yang boleh membawa kepada penghentian keganasan dan melindungi nyawa orang awam mesti dilaksanakan dengan keikhlasan dan segera,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyatakan Hamas dan Isral bersetuju melaksanakan pelan pertama perjanjian damai bagi menamatkan perang di Gaza.
Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh menyokong rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk keadilan, maruah dan kenegaraan. Saya menggesa semua pihak yang berkaitan agar merebut peluang ini untuk bergerak ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyambut baik pengumuman mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya mengalu-alukan pengumuman mengenai perjanjian bagi melaksanakan gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Gaza, berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS),” kata Guterres menerusi platform X.
Kenyataan beliau dibuat sejurus selepas Trump mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh AS.
“Saya memuji usaha diplomatik Amerika Syarikat, Qatar, Mesir dan Turkiye dalam menjadi pengantara kepada kejayaan yang amat diperlukan ini. Saya menggesa semua pihak yang terlibat supaya mematuhi sepenuhnya syarat-syarat perjanjian tersebut,” kata Guterres



