DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor.
Menerusi hantaran di Threads hari ini, Perdana Menteri berkata, siasatan perlu dilakukan bagi merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam kejadian berkenaan.
“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku.
“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya dalam hantaran itu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah menengah di Yong Peng dan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur jenayah.
Mangsa dilaporkan ditemukan oleh neneknya kira-kira jam 5.30 petang selepas wanita berkenaan menyedari cucunya masih belum pulang ke rumah.
Menurut sumber, Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas kematian ibunya, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah.
Beliau mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kehilangan tersebut.
Anwar turut menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak dan pelajar merupakan tanggungjawab bersama, dengan kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.





