Lelaki warga emas hilang sejak kelmarin ditemukan lemas dalam sungai

SEORANG lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Lubuk Kawah di Jalan Lubuk Segintah–Lubuk Kawah, Sungai Petani ditemukan lemas pagi ini.

Jasad Mat Yusof Hashim, 77, ditemukan kira-kira jam 9.15 pagi, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pasukan bomba dan penyelamat serta polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, jasad mangsa ditemukan antara 50 hingga 100 meter dari lokasi kenderaan mangsa dijumpai semalam.

Menurutnya, mangsa ditemukan lengkap berpakaian sebelum jasad dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Terima kasih kepada pemilik video yang menghubungi polis sebaik sahaja kejadian berlaku. Ia memudahkan operasi pencarian dilakukan sehingga jasad mangsa ditemukan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian malam kelmarin, mangsa yang memandu seorang diri dilaporkan hilang selepas Proton Wira dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Lubuk Kawah di Jalan Lubuk Segintah–Lubuk Kawah.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menghantar pulang bakal isterinya, Nisun Che Mat, 69, ke Sidam Kanan selepas mereka makan malam dan berbincang mengenai perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.

Mat Yusof kemudiannya memandu pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Felda Teloi Timur, Jalan Kuala Ketil sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 malam.

Susulan kejadian itu, operasi SAR digerakkan dengan membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, anggota BBP Amanjaya serta polis.

Sementara itu, anak kepada Allahyarham Mat Yusof, Muhamad Noor Mat Yusof, 43, memaklumkan bahawa bapanya sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 12 Disember ini.

MUHAMAD Noor Mat Yusof menunjukkan gambar bapanya, Allahyarham Mat Yusof Hashim yang ditemukan lemas pagi ini, ketika ditemui media di lokasi kejadian semalam. GAMBAR: BH

“Abah sepatutnya bernikah pada 12 Disember ini, tetapi tidak sangka kejadian ini berlaku. Kami semua reda dan berharap abah ditemui segera,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Muhamad Noor berkata, bapanya sebelum kejadian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar bakal isterinya pulang ke Sidam Kanan selepas mereka makan malam bersama.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga sedang menguruskan persiapan pernikahan bapanya yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

“Emak saya meninggal dunia pada Disember tahun lalu dan sejak itu abah tinggal sendirian sebelum berhasrat untuk berkahwin dengan pilihan hatinya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here