PM beri komitmen persempadanan DUN Sarawak, minta laporan SPR – Fahmi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan laporan terkini berhubung cadangan persempadanan semula bagi menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk melaksanakannya.

“Komitmen yang dibuat Perdana Menteri adalah untuk melaksanakan dan ada sedikit proses yang beliau maklumkan kepada Jemaah Menteri yang melibatkan pihak SPR, jadi ini akan dilaksanakan.

“(Tempoh pelaksaanan) belum dimaklumkan balik kepada Jemaah Menteri kerana ada beberapa perkara yang kita tunggu di pihak SPR,” katanya kepada pemberita selepas Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di stesen Petronas NPE Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.

Media melaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah membangkitkan isu persempadanan DUN Sarawak dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata pihaknya sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk mengenal pasti lokasi bilik media serta memastikan keperluan capaian Internet di semua pusat mengundi.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta berbincang dengan SPR bagi memastikan keperluan Internet di setiap pusat mengundi di Melaka dikenal pasti dan diuruskan segera, berdasarkan pengalaman persiapan di Johor dan Negeri Sembilan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img