PM beri tempoh seminggu kepada pemimpin penguat kuasa…pikul amanah atau tukar jawatan

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.

Perdana Menteri menegaskan, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.

Tegas beliau, kesediaan untuk terus menggalas tanggungjawab itu boleh disampaikan kepada beliau sendiri, menteri atau ketua jabatan masing-masing.

“Jika sudah diamanahkan tetapi merasakan tanggungjawab itu sukar dilaksanakan kerana cabarannya terlalu besar, ujian berat, atau minat dan tarikan pelawaan lain terlalu kuat.

“Saya syorkan, ia dimaklumkan dalam tempoh seminggu kepada ketua jabatan, kepada saya sendiri, atau menteri. Beritahu kita belum bersedia untuk memikul amanah ini,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, sudah sampai masanya pimpinan tertinggi penguat kuasa memberikan jawapan sama ada mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan atau mengakui ketidakmampuan menghadapi cabaran dan ujian, termasuk tarikan penyelewengan.

“Yang pegang jawatan (tinggi), yang (pangkat) bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang, bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama tapi bintang-bintang kegemerlapan ini harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar, jangan kita ambil sikap sambil lewa,” katanya.

Tegasnya, tempoh seminggu diberikan kerana tahap kesabarannya sudah sampai ke kemuncak, selain merasakan negara yang mempunyai potensi tinggi ini tidak boleh terus terdedah kepada kebocoran, penyeludupan dan kelemahan integriti.

“Rakyat mengharap dan dahagakan pembaharuan. Kalau sanggup pikul tanggungjawab, lakukan sebaik mungkin. Jika memilih untuk berundur ke jawatan lebih rendah, saya akan hormat.

Anwar turut mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan kelemahan penguat kuasa seolah-olah membenarkan keterlanjuran berterusan, sambil mengingatkan bahawa jawatan tinggi dan pengiktirafan yang diterima seharusnya mendorong keberanian untuk bertindak tegas dan berintegriti.

Beliau menegaskan, pembaharuan hanya boleh dicapai jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, menolak sikap sambil lewa serta berani menegakkan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan demi menyelamatkan bangsa dan negara.

“Apakah kita bersedia lakukan pembaharuan, bertanggungjawab untuk bawa perubahan sedaya upaya, kita bawa kebaikan untuk selamatkan bangsa dan negara serta saya memilih untuk meluahkan ini kerana betapa pun saya rasa tersinggung, saya masih menaruh (harapan).

“Saya tahu dalam lubuk hati kita kecil, masih ada keinginan untuk buat sesuatu. Ini naluri insan yang Allah jadikan kepada kita. Kita ada beberapa kebatasan, kelemahan tapi di benak hati kita, damai dan naluri kita, tentunya sebagai manusia, ada insan menginginkan sesuatu dan saya mendoakan kepada Allah, mudah-mudahan kita dapat lakukan sebaik mungkin,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img