KERAJAAN Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memperkukuh kerjasama bagi memastikan pembangunan negara dirancang secara inklusif, mampan dan menyeluruh demi kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara aspek yang diberi perhatian ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-51.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, mesyuarat berkenaan meneliti pelbagai perkara berkaitan pembangunan fizikal negara termasuk perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
“Semua pihak terkait perlu terus menambah baik penyampaian perkhidmatan bagi memperkukuh ekosistem pelaburan serta memudahkan urusan rakyat,” katanya dalam hantaran itu.
Anwar turut menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi manfaat kepada rakyat.
MPFN merupakan badan yang membincangkan perkara dasar berkaitan perancangan bandar dan desa pada peringkat negara, termasuk penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam aspek pembangunan fizikal.
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) pula menjadi kerangka perundangan utama bagi perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia, termasuk penyediaan rancangan pembangunan serta kawalan perancangan guna tanah.
Perancangan fizikal yang teratur penting bagi menyelaras pembangunan kawasan perumahan, kemudahan awam, infrastruktur dan aktiviti ekonomi supaya penggunaan tanah dapat diurus secara terancang, selain mengambil kira keperluan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.





