CBP anjur pickleball bersama media, erat hubungan strategik

CO-OPBANK Pertama (CBP) meneruskan usaha memperkukuh hubungan dengan pengamal media menerusi penganjuran Pertandingan Pickleball CBP Bersama Media 2026 di Premier KL Pickleball, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam.

Pertandingan yang menghimpunkan warga CBP dan pengamal media itu disertai 20 pasukan beregu lelaki serta 16 pasukan beregu wanita dalam suasana santai dan penuh semangat kesukanan.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategik CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, penganjuran program itu merupakan tanda penghargaan terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat serta membuat liputan mengenai aktiviti dan inisiatif bank berkenaan.

Menurutnya, sokongan berterusan pengamal media membantu mengetengahkan usaha, pencapaian dan perkembangan CBP kepada masyarakat.

“Penganjuran pertandingan ini juga menyediakan ruang untuk CBP dan wakil media berkumpul dalam suasana lebih santai, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim yang terjalin selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak berinteraksi di luar urusan rasmi, selain membina hubungan lebih erat menerusi aktiviti sukan.

Mengulas pemilihan pickleball sebagai acara tahun ini, Syaiful Arief Syah berkata, sukan itu dipilih berikutan popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Sukan ini semakin diminati ramai dan kini menjadi antara aktiviti popular dengan penglibatan yang semakin meluas dalam kalangan lelaki mahupun wanita.

“Apa yang lebih penting, aktiviti seperti ini sudah tentu akan menggalakkan semua untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Pertandingan berkenaan merupakan kesinambungan Karnival Sukan CBP Bersama Media yang dianjurkan setiap tahun, sebelum ini menerusi acara boling dan bola sepak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here