PM beritahu BN Negeri Sembilan, ini bukan masa berebut

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui usaha untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran kerajaan negeri di Negeri Sembilan ‘tidak semudah dibayangkan’, sambil menggesa semua pihak mengutamakan keharmonian ketika negara berdepan cabaran ekonomi semasa.

Menurut Perdana Menteri, dalam keadaan ekonomi yang mencabar termasuk krisis semasa, ini bukan masa untuk pihak berkepentingan ‘berebut atau bertegang’ sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran.

Luahan beliau itu merujuk kepada tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang mengumum menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam.

BN negeri semalam turut mendakwa parti komponen itu mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, dengan sokongan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

“Negara kini berdepan isu ekonomi, termasuk krisis semasa dan ini bukan masa untuk berebut atau bertegang,” katanya selepas program Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di ibu negara hari ini.

Mengulas tempoh penyelesaian krisis itu, Anwar berkata, proses perlu memberi ruang kepada semua pihak membuat keputusan secara tertib.

“Saya tidak boleh memberikan tempoh atau tarikh tertentu kerana wajar kita beri ruang kepada semua pihak untuk membuat keputusan dengan baik, memandangkan keputusan dibuat oleh pihak yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan itu,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh terdekat untuk membincangkan isu berkenaan.

“Mungkin hari ini, kerana semalam selepas majlis, saya ke istana dan tidak sempat bertemu beliau,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa Aminuddin akan terus menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda semalam.

“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.

“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang, dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang, kita muliakan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa krisis pentadbiran yang berlaku di Negeri Sembilan itu tidak mewujudkan implikasi lain termasuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Ketika ditanya sama ada tindakan BN itu adalah isyarat bagi gabungan terbabit untuk bergerak solo, Anwar bagaimanapun menjelaskan ia hanya bersifat andaian.

“Janganlah buat banyak andaian dalam politik ini, tidak perlu andaian,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img