AMALAN campur tangan politik dan pemberian komisen berlebihan kepada orang tengah dalam urusan perolehan aset pertahanan negara mesti dihentikan bagi memastikan keupayaan pertahanan negara diperkukuh tanpa sebarang kepentingan tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian teknikal bagi setiap perolehan aset perlu berpandukan kepakaran anggota yang bakal mengendalikan aset berkenaan dan bukannya dipengaruhi pihak berkepentingan.

“Dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara, saya tegaskan bahawa penilaian teknikal bagi perolehan aset mesti berpandukan kepakaran anggota yang akan mengendalikannya.
“Amalan campur tangan politik dan komisen berlebihan kepada orang tengah mesti dinoktahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook malam ini selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI bersama warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), veteran serta keluarga mereka di Pangkalan Udara Butterworth, hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar turut menyentuh kebajikan anggota TUDM yang terpaksa berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan demi melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.
Katanya, kerajaan bertanggungjawab memastikan anggota tentera menikmati kediaman selesa, gaji yang wajar serta kemudahan pendidikan terjamin untuk anak-anak mereka.
Sehubungan itu, beliau meluluskan peruntukan RM100,000 bagi membantu kebajikan keluarga dan anak-anak warga TUDM di pangkalan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, beliau turut mengarahkan supaya siasatan terhadap seluruh rangkaian penyeludupan dadah yang membabitkan warga TUDM dijalankan tanpa sebarang gangguan.
“Arahan saya jelas. Siasat seluruh rangkaian yang terlibat tanpa sebarang gangguan dan ambil tindakan tegas terhadap sesiapa jua yang didapati bertanggungjawab.
“Tidak adil untuk meletakkan kesalahan segelintir orang di bahu ribuan anggota yang berkhidmat dengan jujur dan penuh disiplin,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota TUDM serta keluarga mereka yang bersama-sama memikul tanggungjawab dan pengorbanan demi keselamatan negara.





