PM sifatkan kejayaan AKPS sita kontena ke Israel buktI ketegasan Malaysia

 PERDANA  Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor semalam.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin.

AKSP ini dalam satu kenyataan memberitahu sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, selepas disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel, semalam.

Kata agensi itu, tindakan tersebut dilakukan menerusi maklumat risikan yang diterima sebelum pemeriksaan dijalankan terhadap kontena berkenaan.

“Berdasarkan semakan awal, penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.

“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.

“Ia termasuk menentukan sama ada barangan itu adalah barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari yang berkaitan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam perkembangan sama, AKPS menegaskan, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan dasar, sekatan dan undang-undang negara berkaitan Israel.

Agensi itu memaklumkan, pendirian kerajaan berhubung perkara berkenaan kekal jelas dan konsisten.

“Sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img