DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau menghubungi rakan sejawatannya dari Nepal, Balendra Shah, sebelum berlepas ke China pagi tadi bagi menyampaikan simpati Malaysia susulan bencana besar yang melanda negara itu bulan lalu.
Dalam perbualan telefon berkenaan, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terus menjalankan operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.
Beliau berkata, keadaan di lokasi bencana masih amat mencabar, manakala skala kemusnahan yang berlaku disifatkan oleh PM Shah sebagai seumpama tsunami.
“Saya turut menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menurut Anwar, mekanisme berkenaan penting bagi membantu keluarga yang terjejas menguruskan urusan berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
Beliau berkata, surat rasmi akan dikemukakan kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan berkenaan.
Dalam pada itu, PM Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya walaupun keadaan di lapangan semakin sukar.
“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya.





