PM tegaskan kerajaan tidak kompromi isu kewujudan rakyat Israel di Network School

KERAJAAN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat rakyat Israel berada dalam program Network School di Forest City, Johor tanpa kebenaran yang sah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, perkara itu kini dalam siasatan agensi yang terlibat dan pihaknya kini menunggu penjelasan lanjut berhubung isu itu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya percaya Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) akan beri jawapan. Kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Isu operasi Network School di Forest City menjadi tumpuan susulan kebimbangan yang disuarakan kerajaan negeri Johor mengenai dakwaan terdapat warga Israel menyertai program itu menggunakan pasport negara kedua.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program itu.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta membuat semakan dan siasatan secara menyeluruh.

Perdana Menteri dalam pada itu menegaskan, sekiranya benar terdapat rakyat Israel yang tidak diiktiraf berada di negara ini, individu berkenaan akan diusir segera.

“Kalau ada rakyat Israel yang kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tapi ini semua agensi telah menjalankan siasatan,” ujarnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img