LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi Felda yang baharu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 30 Jun lalu.
Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Ahmad Badri mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menurut agensi itu, kepimpinan Ahmad Badri diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi Felda selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat selepas memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.
Sebelum ini, beliau pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pengerusi selain menganggotai lembaga pengarah beberapa institusi utama negara termasuk Bank Negara (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketika ini, Ahmad Badri merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Felda berkata, pihaknya yakin kepimpinan Ahmad Badri akan memperkukuh agenda transformasi Kumpulan Felda, meningkatkan kemampanan ekonomi serta mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.
Pelantikan itu diharapkan dapat membantu Felda mencapai kejayaan baharu dalam memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi akan datang terus terpelihara.






