PERDANA Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan siasatan terhadap dakwaan penipuan besar-besaran dalam peperiksaan perkhidmatan awam bagi mendapatkan pekerjaan kerajaan.
Arahan itu dikeluarkan selepas beribu-ribu keputusan ujian didakwa dimanipulasi untuk menaikkan markah sebagai balasan kepada bayaran sehingga AS$24,000 (RM102,000) bagi setiap kes.
Skandal itu tercetus selepas polis dan pegawai antirasuah menyerbu sebuah alamat syarikat di Nonthaburi, di luar Bangkok, pada Selasa lalu dan menemui sekurang-kurangnya 10 pegawai yang sedang mengubah markah peperiksaan berkomputer “bagi membantu pemohon yang telah membayar rasuah” untuk lulus peperiksaan tersebut.
Pemeriksaan awal menunjukkan rasuah mungkin telah dibayar bagi sekurang-kurangnya 3,000 peperiksaan daripada siri peperiksaan tahun lalu di seluruh negara.
Menurut pihak berkuasa, bayaran untuk meluluskan peperiksaan perkhidmatan awam melalui manipulasi markah adalah antara 350,000 baht (RM44,450) hingga setinggi 800,000 baht (RM44,450).
Dalam rakaman video serbuan berasingan di wilayah Phetchabun yang mempunyai kaitan dengan serbuan awal itu dan dikongsi oleh polis Thailand, seorang penjawat awam yang terkejut, berpakaian seragam khaki, menjelaskan bagaimana beliau terlibat dalam penipuan tersebut.
“Rakan-rakan saya,” kata wanita itu, yang wajahnya dikaburkan dalam video berkenaan, sambil mengakui bahawa tugasnya adalah membetulkan jawapan peperiksaan menggunakan komputer.
Pihak berkuasa tempatan yang diwakilinya, iaitu Perbandaran Wichian Buri Municipality, kemudian mengeluarkan kenyataan di media sosial untuk menjauhkan diri daripada skandal itu dengan menegaskan bahawa mereka “tidak mempunyai sebarang kaitan, tidak mengetahui lebih awal, dan sama sekali tidak terlibat dalam perbuatan penipuan atau skim rasuah yang disebutkan itu.”






