SEEKOR buaya gergasi sepanjang kira-kira lima meter yang dipercayai terbabit dalam beberapa serangan terhadap manusia dan mengancam keselamatan penduduk di Sungai Tatau, Bintulu berjaya ditembak mati dalam operasi khas, petang semalam.
Reptilia itu ditembak kira-kira jam 3.30 petang selepas dikesan pasukan pemburu buaya berlesen yang menjalankan operasi di kawasan sungai berkenaan.
Pemburu buaya, Juni Kung berkata, pihaknya melepaskan tembakan selepas berjaya mengenal pasti kedudukan buaya terbabit.
“Buaya itu berjaya ditembak tepat pada bahagian kepala.
“Operasi ini dijalankan selepas mengambil kira aspek keselamatan penduduk kerana kawasan berkenaan pernah berlaku serangan buaya terhadap manusia,” katanya.
Beliau berkata, operasi memburu akan diteruskan selama tiga hari dengan memberi tumpuan di sepanjang Sungai Tatau hingga ke Kuala Tatau bagi mengesan buaya lain yang dipercayai masih mengancam penduduk.
Menurutnya, reptilia itu bukan sahaja dipercayai menyerang manusia, malah sering mengganggu penduduk yang menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang di sungai berkenaan.
“Operasi ini penting bagi mengurangkan ancaman terhadap penduduk yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki dan laluan harian,” katanya.
Juni berkata, selain operasi memburu, pihaknya turut memasang 16 pancing di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi habitat dan laluan buaya di sepanjang Sungai Tatau.
Beliau berharap usaha itu dapat mengurangkan risiko serangan buaya serta meningkatkan tahap keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai berkenaan.






