DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beradik yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Siraj, Pontian, Johor, pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, beliau amat dukacita menerima berita mengenai tragedi yang mengorbankan tiga beradik berkenaan.
“Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada seluruh keluarga dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, tiga beradik terdiri daripada seorang lelaki berusia 18 tahun, adiknya yang berusia 11 tahun dan seorang adik perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sarpan di Kayu Ara Pasong sebelum berpatah balik selepas mendapati sekolah berkenaan ditutup susulan keadaan jerebu.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, motosikal yang dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan bahagian hadapan lori dari arah bertentangan.
Keadaan laluan yang dilaporkan berkabus tebal dan berjerebu dipercayai berlaku ketika kemalangan berkenaan.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pontian untuk proses bedah siasat dan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj malam ini.





