PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kepelbagaian di Malaysia sebagai kekuatan teras negara.
Beliau berkata budaya, tradisi dan masyarakat di negara ini bukan sekadar ciri-ciri identiti Malaysia, tetapi juga asas kepada perpaduan negara.
“Semua boleh datang ke Malaysia untuk melihat kepelbagaian dan semangat tradisi yang berbeza, khususnya yang berkaitan dengan agama.
“Inilah perkara yang luar biasa. Bagi kami di Malaysia … kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, kuasa yang membangkitkan, memperkukuh semangat dan budaya kami,” kata beliau ketika berucap pada Festival Vaisakhi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Anwar turut mengiktiraf peranan komuniti Sikh di Malaysia sejak sekian lama, termasuk kepentingannya dalam perjalanan peribadi beliau.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM500,000 untuk menyokong aktiviti dan sambutan komuniti Sikh di negara ini.
Vaisakhi ialah perayaan penting yang diraikan terutamanya oleh pengikut Sikh dan komuniti Punjabi, lazimnya pada pertengahan April yang menandakan pesta menuai ketika musim bunga dan peristiwa penting keagamaan yang bersejarah.

SEMENTARA itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia berpotensi kembali digelar ‘Harimau Asia’ sekiranya rakyat bersatu dan mengetepikan perbezaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Beliau berkata kekuatan negara tidak hanya bergantung kepada dasar ekonomi semata-mata, bahkan meliputi perpaduan rakyat dalam mendepani isu seperti kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.
“Kita bersama-sama menghadapi cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini. Kita bersama-sama untuk bukan sahaja berdoa tetapi berusaha menghadapi apa jua masalah dari segi kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup meningkat.
“Saya yakin Malaysia akan menjadi ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi semula apabila kita bersatu hati menghadapi kesusahan ini. Ketepikanlah perbezaan agama dalam kalangan kita, apatah lagi perbezaan politik, perbezaan kepentingan… sama-sama kita membantu kerajaan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Guru Nanak di Shah Alam hari ini, yang turut dihadiri presiden gurdwara itu Datuk Bhupindar Singh dan Presiden Parti Punjabi Malaysia (PPM) Datuk Gurjeet Singh Rhande.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbezaan agama bukan penghalang untuk rakyat saling membantu dan perkara itu terbukti apabila institusi gurdwara tampil membantu mangsa banjir tanpa mengira latar belakang kaum dan agama ketika bencana banjir besar melanda Selangor pada Disember 2021.
“Kita lihat sendiri bagaimana gurdwara ini telah membantu mangsa banjir ketika rakyat memerlukan bantuan dan ini tidak hanya diberikan kepada mangsa-mangsa keturunan Sikh, Melayu, Cina, India dan apa sahaja bangsa yang menjadi mangsa dibantu oleh gurdwara di Shah Alam.
“Ini adalah satu isyarat, satu bahasa badan yang baik dan kita mesti ikut… bukan sahaja kerja-kerja yang baik ini tetapi ia diperlihatkan bukan hanya dengan ucapan, bukan hanya dengan tulisan tetapi dengan perbuatan ikhlas penganut-penganut Sikh di Shah Alam, di Selangor dan di seluruh Malaysia,” katanya.


