POLIS sedang mengesan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu kira-kira jam 5 petang semalam.
Video berdurasi 9 saat itu memaparkan beberapa individu dipercayai mencuri kabel dari sebuah lubang manhole di tepi lebuh raya berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan pada 4 Jun lalu.
“Pengadu memaklumkan bahawa kira-kira jam 1.30 petang dia telah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ternampak sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna kelabu berada di lokasi tersebut.
“Pengadu kemudian melihat empat lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsa mereka sedang memunggah kabel-kabel yang telah dipotong pendek ke dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Anuar berkata, pengadu sempat merakam kejadian tersebut sebelum kesemua suspek beredar dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan semua suspek yang terlibat masih sedang dikesan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.


