JAMES Chai yang merupakan bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini untuk memberi keterangan membantu siasatan berkaitan projek semikonduktor disokong kerajaan bernilai RM1.11 bilion.
Penganalisis politik itu yang dicari SPRM sejak hampir dua bulan, tiba jam 9.59 pagi ini memakai baju putih dan berada di tempat penumpang sebuah Proton Persona berwarna putih.
Beliau dilihat masuk ke dalam pejabat SPRM bersama beberapa individu yang tidak dapat dipastikan sama ada mereka ahli keluarga atau peguamnya.
Sejak awal Mac lalu, James yang menetap di London dicari oleh SPRM sebelum agensi itu menerima surat daripada peguam bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa lelaki itu tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan atas alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk James hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal hadir.
Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat susulan menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dengan suruhanjaya berkenaan bersedia menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
SPRM ketika itu turut akan menimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa, termasuk polis antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
Berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan, setakat ini seramai 17 saksi dirakam percakapan yang membabitkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Dalam pada itu, firma guaman, Kesavan Advocates & Solicitors yang mewakili James dalam kenyataan memaklumkan segala urusan kepulangan anak guam mereka telah diatur selepas mendapat kelulusan majikan di London dan pihaknya berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.


