CUBAAN menyeludup 80.35 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.01 juta menggunakan perkhidmatan kurier dengan bungkusan yang diikrarkan sebagai ‘tofu cat litter’ digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan itu dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dengan kerjasama Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.
Menurutnya, pada 28 Ogos lalu, pihaknya melakukan pemantauan terhadap beberapa bungkusan yang dialamatkan ke sebuah premis di Bandar Bintulu.
“Bungkusan berkenaan diikrarkan sebagai ‘tofu cat litter’ namun ia disyaki berisi dadah.
“Pemantauan selain intipan dijalankan selama 12 hari namun tiada pihak tampil menuntut bungkusan itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati bungkusan terbabit berisi methamphetamine.
Katanya, penggunaan maklumat penerima yang tidak wujud dipercayai bertujuan memastikan penghantaran berkenaan tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.





