POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang anggotanya dipercayai terbabit kejadian memeras ugut dan meminta rasuah daripada orang awam di daerah Kluang pada Rabu lalu yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hantaran menerusi aplikasi Threads memaparkan kejadian itu dikesan kira-kira jam 11 pagi semalam dan menimbulkan pelbagai persepsi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk dari aspek tata tertib terhadap anggota polis yang terbabit.
“Insiden dipercayai berlaku pada jam 12.20 tengah malam Rabu lalu di jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Newpark, Kluang.
“Bagi pihak IPD Kluang, kami tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemarkan imej PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.






