Dapatan awal ‘bedah siasat’ kekalahan PRN dikenal pasti – Fahmi

DAPATAN awal ‘bedah siasat’ ke atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan, baru-baru ini menunjukkan jentera gabungan itu perlu kekal fokus kepada tugas utama iaitu menyantuni pengundi dan memastikan penyokong keluar mengundi.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu adalah antara dapatan awal dikenal pasti pimpinan parti.

“PH sudah membuat ‘bedah siasat’ mengenai apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

“Memang tidak boleh dinafikan, isunya bukan mengenai serang-menyerang, tetapi memastikan jentera parti kekal fokus kepada tugas utama, iaitu mengenal pasti pengundi dan membawa mereka keluar mengundi pada hari pengundian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Kasih MADANI di IWK Eco Park, Kuala Lumpur hari ini, lapor BH.

Pada PRN Johor, 11 Julai lalu, PH tewas dengan hanya memenangi lapan daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN), manakala keputusan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos pula menyaksikan gabungan itu meraih 11 daripada 36 kerusi dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, calon perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan diri, sekali gus menyampaikan tawaran dan mesej mengenai perkara akan dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Beliau menekankan bahawa perkara dikenal pasti itu adalah tugas paling penting yang perlu diberi perhatian oleh calon dan jentera parti, khususnya pada peringkat setempat.

“Fokus jentera adalah menyantuni pengundi dan memastikan pengundi yang menyokong calon serta parti keluar mengundi.

“Fokus calon pula adalah memperkenalkan diri dan membawa mesej apa yang akan dilakukan bagi sesuatu kerusi atau DUN itu,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img