PIHAK berkuasa Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine yang ditemukan dalam sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, baru-baru ini.
Berikutan itu, sebanyak 13 individu termasuk kru pesawat dan pekerja lapangan terbang turut ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rampasan dadah berkenaan.
Memetik laporan Lao Security Newspaper, Vientiane Times melaporkan, operasi itu dijalankan pada 1 Oktober lalu selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan sindiket yang dipercayai merancang membawa dadah merentasi sempadan menggunakan pesawat peribadi.
Maklumat berkenaan diterima pihak polis pada 21 September sebelum siasatan lanjut mendapati jadual penerbangan terbabit telah diubah.
Pesawat berkenaan kemudiannya dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira jam 1.30 petang pada 1 Oktober.
Susulan itu, pihak berkuasa keselamatan awam wilayah mengarahkan unit khas menjalankan pemantauan terhadap penerbangan terbabit.
Hasil pemeriksaan, pegawai menemui 23 beg pakaian dan merampas 500 bungkusan yang mengandungi bahan disyaki crystal methamphetamine dengan berat keseluruhan 521kg.
Selain dadah, sebuah jet peribadi jenis Learjet serta sebuah trak pikap turut disita untuk dijadikan bahan bukti.
“Sebanyak 21 daripada 23 beg pakaian itu mengandungi bahan berhablur putih yang dikenal pasti sebagai crystal methamphetamine,” menurut laporan berkenaan.
Kesemua 13 individu yang ditahan termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, pelancong asing, tiga pekerja syarikat dan tujuh pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Tiga daripada mereka yang ditahan merupakan wanita.
Pesawat terbabit dikenal pasti sebagai sebuah Learjet dengan nombor pendaftaran N73GP.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian serta pihak yang terlibat dalam cubaan membawa masuk dadah berkenaan ke Laos.





