SEBUAH pusat peranginan di Sungai Lembing, Kuantan yang tidak beroperasi sejak tahun lalu dipercayai dijadikan markas sindiket penipuan selepas disewa pada kadar RM30,000 sebulan.
Sindiket yang dipercayai mula beroperasi di premis itu sejak kira-kira tiga bulan lalu menyasarkan warga China menerusi kegiatan penipuan panggilan telefon.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang dijalankan semalam membawa kepada penahanan 98 individu, termasuk 95 warga asing.
“Daripada 95 warga asing yang ditahan, 88 adalah warga China manakala selebihnya warga Myanmar, Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.
“Turut ditahan tiga warga tempatan iaitu seorang lelaki dipercayai pemilik pusat peranginan berkenaan serta seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bekerja di situ,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya hari ini.
Menurut Zakaria, kedudukan pusat peranginan yang terpencil dipercayai menjadi faktor lokasi itu dipilih sindiket bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, risikan selama sebulan turut mendapati kumpulan terbabit menggunakan khidmat ‘tonto’ dalam kalangan penduduk tempatan untuk memantau pergerakan keluar masuk ke premis berkenaan.
Lebih mengejutkan, sindiket itu dipercayai menggunakan 11 set Starlink sebagai kemudahan internet selepas premis berkenaan tidak lagi mempunyai bekalan elektrik.
“Mereka menggunakan genset kerana premis berkenaan sudah tidak mempunyai bekalan elektrik, manakala 11 set Starlink dipercayai digunakan sebagai talian internet.
“Penggunaan Starlink ini dipercayai bagi mengelak bergantung kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan kerana sambungannya terus melalui satelit,” katanya.
Dalam operasi itu, JIM turut menyita 49 pasport warga China selain dokumen perjalanan milik warga Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia serta satu Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) Indonesia.
Tambah beliau, antara barangan lain yang dirampas adalah 100 telefon bimbit, 120 komputer, sebuah kamera litar tertutup (CCTV), sembilan bungkusan kad SIM yang belum digunakan, wang tunai RM5,000 dan 11 set peralatan telekomunikasi Starlink.
Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengamalkan modus operandi berpindah dari satu negara ke negara lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
“Mereka juga dipercayai beroperasi selama 24 jam,” katanya.
Beliau berkata, semakan terhadap pasport yang dirampas mendapati beberapa suspek pernah berada di Kemboja dan Vietnam sebelum ini.
Bagaimanapun, hanya 49 pasport warga China ditemukan dalam serbuan berkenaan, manakala sebahagian lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
“Sebahagian daripada mereka berkemungkinan memasuki negara ini melalui laluan tidak sah, manakala pemegang pasport pula dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa,” katanya.
Kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.





