ENAM individu berdepan detik cemas apabila dua kenderaan yang mereka naiki dihempap sebatang pokok tumbang berdekatan sebuah restoran di Jalan Seremban-Tampin di Seremban malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 8.48 malam.

Menurut jurucakap itu, tujuh anggota bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mendapati sebatang pokok setinggi 10 meter telah tumbang dan menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dinaiki lima sekeluarga berusia antara 12 hingga 47 tahun.
Katanya, turut dihempap, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga sedang melalui kawasan itu.
“Kesemua mangsa berjaya keluar sendiri dalam keadaan selamat sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba.
“Kerja pemotongan pokok sedang dilakukan oleh PKO ketika ini,” menurut jurucakap itu.


