POLIS merampas kira-kira 396,000 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM13.92 juta yang dipercayai disimpan dan diedarkan tanpa cukai kastam dalam Op Taring Alpha 2 di sebuah premis Penampang, semalam.
Serbuan kira-kira jam 10.15 pagi itu dijalankan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bagi menumpaskan kegiatan sindiket berkenaan.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Indonesia.
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan dalam beberapa kontena serta enam kenderaan pengangkut.
“Secara keseluruhan, rampasan melibatkan kira-kira 396,000 tin minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM13.068 juta.
“Selain itu, polis turut merampas enam lori bernilai RM850,000 serta tiga telefon bimbit bernilai RM3,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM13.921 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis itu dipercayai beroperasi kira-kira enam bulan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam.
Katanya, kedua-dua lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar minuman keras berkenaan dengan menerima gaji secara tunai kira-kira RM3,000 sebulan.
“Mereka dipercayai menerima bayaran daripada seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Teck,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Mohd Yusri berkata, kejayaan operasi itu sebahagian usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara.





