Polis rampas dadah lebih RM3juta, remaja 16 tahun antara 8 ditahan

SEORANG remaja berusia 16 tahun antara lapan lelaki yang ditahan bersama 60 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.04 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru baru-baru ini.

Kesemua lapan yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 78 tahun dalam serbuan bermula 9 malam pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan berhampiran sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira jam 9 malam yang membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan termasuk remaja itu dan seorang lelaki warga asing.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Bezza milik datuk kepada remaja terbabit menemukan 50 peket plastik disyaki mengandungi methamphetamine seberat 60.78kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini, lapor Sinar Harian.

Ab Rahaman berkata, serbuan susulan di hotel sama membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan namun tidak menemukan sebarang dadah.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati remaja itu bersama seorang warga asing berperanan sebagai penghantar dadah, seorang lagi lelaki menjadi ‘runner’ dan dua individu lain dipercayai orang kanan kepada suspek ketujuh yang membantu menguruskan operasi sindiket dadah berkenaan.

“Suspek ketujuh berusia lingkungan 50-an dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala suspek kelapan dipercayai perancang utama yang mengatur keseluruhan operasi,” katanya sambil menambah jumlah dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 303,900 penagih.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Ab Rahaman berkata, hasil semakan mendapati remaja terbabit tercicir daripada persekolahan sejak Januari 2025.

Menurutnya, tiga suspek termasuk remaja itu positif methamphetamine dan semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah.

Selain dadah, polis turut menyita aset bernilai RM100,162 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sebuah Toyota Camry, Proton Saga serta pelbagai barang kemas, dengan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM3.14 juta.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari hingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img