POLIS menerima dua laporan berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kedua-dua laporan itu dibuat oleh dua lelaki berusia lingkungan 35 dan 40 tahun di Balai Polis Kangar pada jam 9.30 pagi dan 9.53 pagi, hari ini.
Beliau berkata, pengadu mendakwa melihat satu hantaran dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook pada jam 11.36 malam semalam yang didakwa mempertikaikan pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada seorang individu sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Perlis.
“Individu berkenaan memuat naik hantaran yang secara tidak langsung mempertikaikan penganugerahan tersebut.
“Pada pemerhatian pengadu, kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai satu penghinaan atau tindakan memperlekehkan anugerah yang dikurniakan oleh Tuanku Raja Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengadu berpandangan hantaran itu berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi diraja Perlis selain boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kandungan berkenaan juga dikhuatiri mengganggu keharmonian awam kerana menyentuh isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Pengadu turut menyerahkan salinan tangkap layar hantaran Facebook berkenaan sebagai bahan rujukan dan bukti bagi membantu siasatan polis.
“Setakat maklumat yang diterima, pemilik akaun Facebook berkenaan dipercayai seorang lelaki yang berasal atau menetap di kawasan Sungai Padang, Perlis,” katanya.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan identiti sebenar individu terbabit dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.






