POLIS sedang menyiasat kejadian tular melibatkan dua kanak-kanak duduk di bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang bergerak di jalan raya mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti pemilik kenderaan itu yang mendakwa menjadikan MPV jenis Toyota Alphard terbabit sebagai kenderaan sewa.
Katanya, usaha mengesan pemandu ketika kejadian berlaku sedang dijalankan.
“Maklumat berhubung video tular itu diterima hari ini yang memaparkan MPV terbabit sedang bergerak di Jalan Meru-Jelapang, di Ipoh dengan beberapa kanak-kanak duduk di atas bumbung kenderaan.
“Tindakan boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak. Sehubungan itu kes ini disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zurainie Syamira Mohd Zainudin di talian 017-955 8984.
Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, tambah beliau.





