POLIS sedang menyiasat insiden seorang lelaki diganggu dengan ugutan senjata tajam ketika beratur menunggu bas berhampiran sebuah universiti di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang video kejadian tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat mangsa.
“Setakat ini belum ada tangkapan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek.
“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Insiden yang tular di media sosial itu memaparkan seorang lelaki dikatakan diserang dan ‘diacah’ senjata tajam oleh suspek lelaki di sebuah perhentian bas.
Dalam video itu kelihatan seorang lelaki berpakaian hitam memegang senjata tajam tiba-tiba menyerang lelaki berpakaian putih dengan berulang kali menendang dan menikam.
Bagaimanapun, status kecederaan mangsa belum diketahui.






