POLIS menyiasat kejadian provokasi melibatkan seorang lelaki yang dipercayai menolak dan merempuh beberapa pengunjung semasa Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Ketua Polis Putrajaya Asisten Komisoner Aidi Sham Mohamed berkata siasatan dibuka selepas pihaknya menerima empat laporan pada semalam dan hari ini dan juga mengesan satu video di Facebook berkaitan insiden tersebut.
“Video itu memaparkan seorang lelaki berbaju oren atau coklat dipercayai membuat provokasi serta merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.
“Kejadian ini dipercayai berlaku semalam lebih kurang jam 5 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Aidi Sham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Lelaki berkenaan juga diminta hadir ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan,” katanya.





